Travelog Lantai Parlimen : Katil Nombor 5, Hospital Muar

* Gambar ihsan google

Hospital Muar, katil nombor 5. Adegan yang tidak  dapat aku lupakan sewaktu awal-awal tahun dalam dunia pengajian kewartawanan. Apa pun yang hadir di sekelilingku semuanya bernilai. Bernilai berita! 

Katil nombor 5

"Abang Musa... Abang Musa. Terima kasih tolong aku. Engkau seorang sahaja yang faham aku. Kalau tak ada engkau memang teruk lah aku masa tu!"

"Abang Musa, datanglah melawat aku. Aku bosanlah di sini."

Tiba-tiba wad 15, wad wanita Hospital Muar dikejutkan dengan teriakan Kak Salmi. Wanita Orang Kelainan Upaya (OKU) umurnya lingkungan 30 an; bercakap-cakap seorang diri sambil di selang seli dengan gelak ketawanya. 

Ketika itu aku sedanng menemani Kakakku Nora yang juga seorang OKU. Dia demam panas dan meracau-racau. Katilnya nombor 10 berdepan dengan katil Kak Salmi. Sewaktu Kak Salmi menjerit-jerit memanggil kawan halusinasinya abang Musa, aku dan Kak Nora hanya diam memerhati.

Waktu itu apa yang tidak lekang di tanganku adalah sebatang pen dan sebuah buku catatan. Ini 'senjata' seorang wartawan. Kalau melenggang kangkung sahaja tiada hasil yang dapat di bawa pulang ibarat pemancing yang tiada kail dan umpan, duduk termenung tak berkesudahan. :)

Selepas penat bercakap sendirian dan mundar mandir di wad 15, Kak Salmi terbaring keletihan. Ya, aku lihat dia sangat kepenatan dan asyik menggaru-garu badannya dan alat sulitnya. Seperti kesakitan. 

Seperti orang mengantuk disorongkan bantal. Jam 4.30 petang waktu melawat dibuka. Kulihat seorang waris Kak Salmi datang menziarahinya. Wah! Ini petanda baik, mungkin ada cerita yang menarik yang boleh aku gali daripada warisnya. 

* Gambar ihsan google

"Assalammualaikum Kak. Saya Diana," Tanganku hulur, salam ku disambut penuh mesra oleh Kak Faridah. 

"Waalaikumusalam. Adik jaga siapa tu?" Kak Faridah bertanya ingin tahu. 

"Saya teman kakak saya." Jawabku pendek. 

"Oh ye ke. Kak Salmi ini kakak ipar akak. Dia OKU. Sebelum ini dia tinggal di Johor Bahru dan sekarang kami bawa dia pulang ke Muar. Ada kes." Ujar Kak Faridah panjang lebar. 

"Ada kes kak?" Suis wartawanku sudah mula berfungsi. Menyala-nyala lampu dimindaku nak mencari berita. 

"Kes apa kak? Tadi Kak Salmi ada menyebut-nyebut nama Abang Musa. Siapa Abang Musa?" Soalku bertalu-talu ingin tahu.

"Sebenarnya Kak Salmi ni mangsa rogol. Dia tinggal di Johor Bahru bersama keluarga angkatnya. Abang Musa tu lah yang selamatkan Kak Salmi dan bawa dia keluar daripada rumah keluarga angkatnya." Kak Faridah membuka lembaran kisah luka seorang OKU. 

"Oh begitu." Aku hanya mampu mengangguk simpati. 

Astaghfirullahal'azim. Allah... apakah mesej yang Engkau ingin sampaikan kepadaku dari kisah ini. Seorang wanita OKU, lemah tidak berdaya diperlakukan seperti itu. 

Fakta kes Kak Salmi. Dia dirogol beramai-ramai oleh kawan-kawan kepada anak lelaki keluarga angkatnya. Kak Salmi mengadukan kejadian tersebut kepada ibu angkatnya tetapi tiada siapa yang mempercayai aduan seorang OKU yang kurang waras fikirannya. Nasib Kak Salmi baik. Allah menghantar Abang Musa sebagai kunci keluar daripada 'neraka dunia' itu. Abang Musa membuat laporan polis dan kesnya di rujuk kepada warisnya di Muar. Kak Salmi dimasukkan ke Hospital Muar untuk prosedur pemeriksaan untuk membuktikan wujudnya kes penganiyaan tersebut. 

Seharian aku merenung wajah Kak Salmi. Disebalik wajah yang polos itu tercatat kisah duka seorang wanita OKU. Adakah dia tahu apa yang berlaku padanya. Sedih atau gembirakah dia. Takut pastilah ada atau mungkin juga trauma. 

Walau secara luarannya seperti tidak mengerti apa-apa, tetapi Allah hadirkan dia menjadi ujian kepada orang lain. Dia insan tiada dosa, dia penghuni syurga. Dia amanah Allah kepada semua. Pilihan di tangan-tangan kita; melindungi atau melukakannya? 

Aku mencatat satu persatu kisah Kak Salmi dengan linangan air mata. Entahlah rasa sedih itu tak dapat kutahan. Simpati dan empati. Mungkin aku rasa dekat dengan Kak Salmi memandangkan aku juga punya kakak yang juga seorang OKU. 

Kak Nora, anak ke dua daripada lapan orang adik beradikku. Sewaktu umurnya 10 tahun dia diserang sawan di kebun getah. Ketika itu dia menemani ibuku menoreh. Sejak itulah Kak Nora berulang-ulang diserang sawan sehinggalah umurnya 40 an sekarang. Kunci syurga buat ibuku. Kisah Kak Salmi membuatkan aku insaf dan berazam untuk lebih menyayangi dan melindungi insan yang lemah tidak berdaya. 

Kisah ini berlaku di Parlimen Muar. Banyak kisah masyarakat sebegini yang berlaku di sekeliling kita. Setiap dari kita berperanan melindungi mereka. Kerajaan dasarnya menyediakan bantuan kewangan kepada OKU. 

Pelaku kesalahan rogol ialah lelaki. Secara fitrahnya mereka kuat dan sewajarnya menjadi pelindung kepada golongan yang lemah. 

Di Shah Alam, sahabatku Azlin selalu sebut setiap kali kami ingin adakan program motivasi untuk remaja dia sarankan untuk fokuskan juga program kepada remaja lelaki. Katanya, mereka ini perlu ditanam dengan benih-benih yang baik kerana benih inilah yang akan tumbuh dalam diri mereka. Hidup bertuhan, kepentingan solat, al quran, nilai kasih sayang dan keprihatinan dan sebagainya itulah yang hilang dalam diri manusia. Akhirnya mereka menjadi manusia berjiwa haiwan. Haiwan mencari mangsa dan itulah yang terjadi kepada Kak Salmi. Syukur Alhamdulillah, Allah hadirkan Abang Musa menjadi penyelamat kepada insan syurga ini. 

Allahuakbar... Banyaknya refleksi daripada kisah ini. Ya Allah kurniakan kami kekuatan melaluinya dan maafkanlah kami sekiranya kami berdosa.

Refleksi.

Allah sebut, pilihan di tangan manusia. Allah zahirkan Fujur atau Taqwa. Siapa pun kita tindakan kita ditentukan oleh hati yang bersih yang selalu berhubung dengan Allah swt. 

Sudahkah kita install di dalam hati kita surah ini?

As-Syams : ayat 7-8

"Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya);

"Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan dan yang membawakannya kepada bertaqwa);






Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Jadikan Impian Satu Kenyataan, Mulakan Hanya Dengan Sehelai Kertas!

...Mulakan hari dengan kata-kata positif...!!!

Movies & Song Critics: 1 LITRE OF TEARS, Kisah Penuh Hikmah & Pengajaran